IPOH : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu pertindihan melibatkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional Malaysia (TVET) seperti sistem pendidikan berbeza mengikut kementerian perlu diatasi bagi memastikan ia diperkasa. Beliau berkata berdasarkan struktur sedia ada, terdapat enam kementerian melaksanakan TVET mengikut sistem pendidikan masing-masing iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Belia dan Sukan. Turut melaksanakan TVET adalah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Pertindihan yang merangkumi sistem pendidikan, pensijilan, kekangan dana pembangunan serta ketidaktentuan nasib graduan TVET adalah antara cabaran yang perlu dihadapi dan diselesaikan," katanya. Dr Wan Azizah menyatakan demikian ketika berucap merasmikan sambutan Jubli Emas 50 Tahun Politeknik Malaysia di Politeknik UNgku Omar (PUO) disini semalam. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.
Pemilihan PUO sebagai tuan rumah sambutan dibuat kerana ia merupakan politeknik pertama di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1969. Mernjelas lanjut, timbalan perdana menteri berkata Jawatankuasa Pemerkasaan TVET yang diumumkan penubuhannya oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada November lepas diharap dapat memberi impak positif dalam menangani isu pertindihan itu. "Jawatankuasa ini diharapkan dapat melaksanakan penyelarasan dan rasionalisasi merangkumi governan, penjenamaan, kualiti, industri dan pembiayaan," katanya.
Selain itu, Dr Wan Azizah berkata bagi memperkasakan program TVET, peranan industri perlu dipertingkatkan kerana fasiliti dan perkhidmatan pendidikan yang mantap tidak akan memberi makna tanpa penglibatan pihak berkenaan. Katanya adalah menjadi harapan kerajaan agar pihak industri dapat terlibat dengan lebih aktif supaya teknologi terkini boleh dikongsi bersama terutama dengan politeknik Malaysia.
"Pihak industri perlu sentiasa berkomunikasi dengan institusi TVET berkenaan keperluan tenaga kerja agar tidak berlaku percanggahan ataupun ' mismatch' antara keperluan industri dan graduan yang dihasilkan. "Saya menyarankan politeknik terus memperkasakan aktiviti kolaborasi bersama pihak industri melalui konsep kilang pengajar dengan menambah menglibatan industri ke dalam politeknik di dalam pelbagai bidang," katanya sambil menambah konsep itu akan melibatkan perantisan, pembelajaran berasaskan kerja serta belajar dan mendapat pendapatan.
sumber BERNAMA
No comments:
Post a Comment